0
  • No products in the cart.

Mengandung Luar Rahim ; Punca, Risiko & Penyelesaian

Mengandung Luar Rahim ; Punca, Risiko & Penyelesaian

Setiap pasangan pasti mengidamkan cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga. Setiap kehamilan akan melalui pengalaman yang berbeza dan unik. Namun begitu, ibu mengandung mempunyai risiko berhadapan dengan komplikasi kehamilan seperti mengandung luar rahim.

Komplikasi kehamilan luar rahim ini dianggarkan boleh berlaku kepada 1 dalam 50 ibu mengandung. Proses kehamilan normal bermula apabila si ibu melepaskan telur ke fallopian tiub, untuk bersenyawa dengan sperm.

Selepas berlakunya proses persenyawaan, embrio akan berpindah ke dinding rahim untuk berkembang dan membesar selama 9 bulan. Mengandung luar rahim, juga dikenali sebagai kehamilan ektopik, berlaku apabila embrio melekat di selain dinding rahim.

Kebanyakan kehamilan ektopik berlaku apabila embrio melekat di fallopian tiub. Ia juga boleh berlaku di bahagian lain seperti rongga abdomen, ovari dan serviks.

Perbandingan antara kehamilan normal dan kehamilan ektopik.

Kredit: Mayo Clinic

Punca

Kebiasaannya, telur yang telah disenyawakan akan mengambil masa lima hingga enam hari untuk bergerak dari ovari melalui fallopian tiub ke rahim untuk berkembang dan membesar. Faktor utama kehamilan ektopik berlaku ialah apabila telur gagal ย ke ovari melalui saluran fallopian tiub.

Ia mungkin disebabkan oleh tiub yang tersumbat atau rosak disebabkan jangkitan, lalu menyebabkan telur melekat di fallopian tiub. Maka berlakulah kehamilan luar rahim.

American Pregnancy Association juga menyatakan beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan berlakunya kehamilan ektopik. Antaranya seperti parut tisu di fallopian tiub kesan dari jangkitan, pembedahan di kawasan pelviks atau di tiub, hormon yang tidak seimbang dan perkembangan telur yang tidak normal.

Risiko

Kehamilan luar rahim boleh berlaku kepada mana-mana ibu mengandung. Walaubagaimanapun, ada situasi tertentu yang meningkatkan risiko ini. Antaranya:

  • Pernah mengalami kehamilan luar rahim. Jika ibu mengandung pernah mengalami kehamilan luar rahim sebelum ini, ada kemungkinan komplikasi ini boleh berulang lagi. Risiko golongan ini meningkat dari 1 dalam 50 kepada 1 dalam 10 kehamilan.
  • Mempunyai penyakit jangkitan seksual (STD). Penyakit seperti gonorrhea dan klamidia boleh menyebabkan jangkitan dan keradangan di fallopian tiub dan bahagian sekitarnya. Ia boleh meningkatkan risiko mengandung luar rahim.
  • Pernah membuat pembedahan tubal ligasi. Pembedahan ini adalah kaedah pemandulan yang kekal dengan menghalang laluan fallopian tiub yang normal. Kehamilan luar rahim boleh berlaku apabila si ibu mengandung selepas kaedah ini dijalankan.
  • Mengalami isu kesuburan. Terdapat kajian yang mencadangkan bahawa wanita yang menjalani rawatan kesuburan seperti IVF, berisiko tinggi untuk mengandung luar rahim.
  • Merokok. Merokok sebelum dan ketika mengandung boleh meningkatkan risiko kehamilan ektopik. Semakin banyak anda merokok, semakin tinggi risiko.

Penyelesaian

Komplikasi kehamilan ektopik boleh dirawat dengan beberapa kaedah, bergantung pada saiz embrio dan simptom yang ditunjukkan. Jika ia berjaya dikesan di awal kehamilan dan saiz embrio masih kecil, komplikasi ini dapat dirawat dengan suntikan methotrexate.

Suntikan ini dapat menghalang embrio dari terus membesar dan berkembang, lalu dapat menyelamatkan fallopian tiub dari kerosakan. Jika kehamilan luar rahim dikesan selepas embrio mulai membesar, ia perlu dirawat dengan pembedahan. Ini utk menyelamatkan fallopian tiub dari terjejas dan rosak. Terdapat beberapa kaedah pembedahan, bergantung pada keadaan fallopian tiub.

Kehamilan yang tidak berjaya merupakan hakikat yang sukar ditelan oleh mana-mana wanita. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna anda gagal. Anda masih lagi mempunyai peluang untuk mengandung lagi, asalkan fallopian tiub anda masih dalam keadaan yang baik.

Anda disarankan untuk berunding dengan doktor anda. Di samping itu, sokongan moral dari keluarga dan sahabat juga penting untuk memulihkan semangat. Amalkan gaya hidup sihat untuk memastikan kesihatan anda dan pasangan supaya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk mendapat zuriat di masa hadapan.

Enter your keyword